Berita Jenayah

Bas langgar treler bawa muatan simen

Seramai lima penumpang dan seorang pemandu bas cedera selepas bas ekspres dinaiki melanggar belakang Treler yang membawa muatan simen.

Kemalangan berlaku di KM27.4 Lebuhraya PLUS dari Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Duta, jam 2.55 pagi tadi.

Bas itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu bas ekspres itu melanggar belakang treler yang membawa muatan simen ketika berada di lorong paling kiri.

Lima daripada 18 penumpang bas ekspres berkenaan mengalami kecederaan yang pelbagai dan di hantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang.

Penumpang bas yang cedera membabitkan tiga penuntut universiti iaitu Nur Aneesa Syazmira Sayuti,18, mengalami patah kaki kanan, Mohamad Fahmi Hakim Azhar, 22, cedera di bahagian muka serta mengalami keretakan pada bahagian jari dan Robiatun Adawiyaj Safri, 26, cedera di bahagian muka.

Dua penumpang lain yang turut cedera adalah seorang suri rumah, Nurshamsabiha Jam, 61, mengalami keretakan pada lutut kanan dan Tan Sih Yong, 48, mengalami luka di bahagian muka.

Manakala pemandu bas, Abdullah Bakar berusia 53 tahun mengalami kecederaan patah bahu dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *