Imam tumbuk isteri gara-gara pajakkan pokok rambutan

Berang dengan tindakan isteri memajakkan pokok rambutan di kawasan rumah di Kampung Bukit Kadit, Nilai, Negeri Sembilan seorang pesara polis yang juga imam sebuah masjid menumbuk muka isterinya sehingga cedera.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, suspek berusia 63 tahun itu turut didakwa melepaskan satu das tembakan ke udara kerana terlalu marah dengan tindakan isterinya itu.

Roda Pena difahamkan, suspek memarahi mangsa berusia 58 tahun, apabila wanita itu dikatakan memajakkan pokok rambutan kepada seorang penduduk kampung.

Sumber berkata, akibat terlalu marah, lelaki itu menumbuk muka isterinya, menarik rambut dan menendangnya.

Bagaimanapun, hasrat suspek terus memukul isterinya dihalang anak lelaki mereka yang kemudian membawa wanita itu ke Balai Polis Nilai untuk membuat laporan pada jam 3.40 petang.

Sumber itu berkata, siasatan mendapati suspek adalah pesara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan kini berkhidmat sebagai imam di sebuah masjid berhampiran rumah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, SUPT Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*