Kanak-kanak cedera dipukul selepas disyaki mencuri buku mewarna

Seorang lelaki berusia 20-an ditahan pihak polis bagi membantu siasatan pukul hingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Sibu, Sarawak.

Roda Pena difahamkan, suspek memukul kanak-kanak berusia 10 tahun itu berikutan disyaki mencuri buku mewarna di sebuah pasar raya yang juga tempat suspek bekerja.

Mangsa yang masih bersekolah itu ditampar, dipukul hingga menyebabkan dia cedera pada muka, bahu, tangan dan patah gigi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, berkata kejadian berlaku jam 5.30 petang, Isnin lalu, selepas kanak-kanak itu disyaki mencuri buku mewarna di premis berkenaan.

Katanya, perbuatan itu dilihat seorang pekerja wanita yang kemudian membawa kanak-kanak berkenaan bertemu seorang lelaki berusia 22 tahun, dipercayai penyelia pasar raya berkenaan, sebelum meninggalkan mereka berdua.

“Mangsa dikatakan diarahkan menyapu bilik stor dan cuba diikat agar tidak keluar dari bilik itu, selain ditampar hingga menyebabkan lebam pada muka dan patah gigi.

“Terdapat juga kecederaan pada bahu kiri kanak-kanak itu akibat dipukul menggunakan penyangkut baju besi dan sakit pada tangan kiri kerana dipulas,” katanya menerusi kenyataan.

Stanley berkata, mangsa hanya dilepaskan oleh suspek kira-kira jam 7 malam dan terus pulang ke rumah dalam keadaan menangis sebelum mengadu kepada keluarganya.

“Pihak polis menerima laporan polis yang dibuat keluarga mangsa kira-kira jam 10 malam sebelum menjalankan siasatan, termasuk memeriksa lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*