Jenayah

Mayat dimakan binatang buas ditemui di Pulau Pinang, manakala mayat reput ditemui di Ipoh, Perak

Mayat seorang lelaki warga asing yang bertatu ditemui dengan kesan dimakan binatang buas di tepi kawasan Sungai Perai, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Mayat itu ditemui nelayan pada jam 3.30 petang sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan mendapati mangsa adalah warga asing kerana tiada suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui.

Beliau berkata, mayat terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap dan berseluar pendek hitam serta mengalami luka di dada dipercayai akibat dimakan binatang buas.

“Mayat mempunyai tatu di lengan kiri dan kami turut menemui lastik bersama batu di poket seluarnya dan mangsa dipercayai memburu binatang di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya.

DI IPOH, PERAK pula, mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui di kawasan semak di Hala Jati Meru 9, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang pagi tadi.

Mayat itu ditemui kontraktor TNB jam 9.30 pagi sebelum memaklumkan pada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Yahya Abd Rahman mengesahkan penemuan mayat terbabit.

“Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, penemuan mayat itu diklasifikasikan kes mati mengejut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *