Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemui

Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar dalam ditemui di kawasan semak di tepi Sungai Klang berhampiran Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala Ampang, Kuala Lumpur tadi.

Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu dijumpai oleh kontraktor lebuhraya pada jam 11.30 pagi ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.

Siasatan awal mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia 3-5 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata, sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati mayat seorang lelaki yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar dalam.

Katanya, hasil siasatan Unit Pathologi Hospital Kuala Lumpur mendapati mayat tersebut sudah meninggal dunia tiga hingga lima hari lalu berdasarkan keadaan proses pereputan pada mayat.

“Setakat ini, kita tidak dapat pastikan umur serta bangsa mayat berkenaan berikutan keadaannya sudah reput.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*