Berita Dunia

MISI COVID19 – 212 rakyat Malaysia dibawa pulang

Pasukan petugas khas Covid-19, Kedutaan Malaysia di Tashkent, Uzbekistan membantu membawa pulang seramai 212 rakyat Malaysia yang terkandas di negara tersebut.

Kesemua mereka termasuk tujuh warga negara Singapura dibawa pulang menaiki pesawat Uzbekistan Airways ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam, menurut satu kenyataan Wisma Putra menerusi laman sosial Twitter.

Ketua pasukan petugas khas, Duta Malaysia di Uzbekistan Hendy Assan turut meluahkan penghargaannya kepada kerajaan Uzbekistan, pengendali pelancongan dan semua yang berganding bahu membantu menjayakan misi tersebut.

Difahamkan, seramai lebih 200 pelancong dari Uzbekistan yang terkandas di negara ini turut pulang ke Tashkent semalam.

Terdahulu, Wisma Putra dalam satu sidang akhbar memaklumkan bahawa kementerian itu sedang menyelaras urusan membawa pulang seramai 1,519 rakyat negara ini yang terkandas di India.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar memaklumkan seramai 1,116 rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu akan dibawa pulang dalam masa terdekat menggunakan enam buah pesawat sewa khas Air Asia jenis A320 melalui Chennai dan Trichy.

Kos sewa penerbangan berjumlah RM1.05 juta dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC.

Selain itu, pihak Kementerian Luar dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Malaysia Airport Berhad turut menyelaras dua lagi penerbangan Malaysia Airlines ke Chennai dan Mumbai.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang mendapatkan kebenaran mendarat dua penerbangan itu dengan pihak berkuasa India.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *