Berita Dunia

Nahas New Zealand: Semua jenazah dikebumikan hari ini

Anggota penyelamat terpaksa memotong kenderaan yang remuk untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

CHRISTCHURCH, New Zealand – Kesemua empat jenazah mangsa nahas jalan raya di Kaikoura pada Jumaat lalu dijangka dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Memorial Park di sini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini memaklumkan urusan pengebumian kesemua empat jenazah berkenaan akan dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).

“Wisma Putra merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan serta komuniti Malaysia di New Zealand di atas bantuan daripada pelbagai aspek kepada waris mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Roda Pena semalam melaporkan, empat mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Adanan Jeman, 49; Rumihati Abd Hamid, 49; Nur Irfan Adanan, 15 dan Nur Aaleeyah Maisarah Adanan, 13 .

Seorang lagi mangsa, Nur Arifah Bahiyah Adanan, 11, sedang menerima rawatan di hospital di Wellington dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Siaran akhbar mengenai perkembangan nahas jalan raya di New Zealand

Kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Kebangsaan, utara Kaikoura berlaku pada pukul 3.01 petang (waktu tempatan) semalam melibatkan sebuah lori dan kereta.

Portal berita www.stuff.co.nz melaporkan, dua mangsa cedera diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital Christchurch dan Hospital Wellington untuk mendapatkan rawatan.

Kemalangan tersebut menyebabkan aliran trafik lebuh raya utama itu ditutup bagi melancarkan operasi menyelamat.

Anggota penyelamat terpaksa memotong kenderaan yang remuk untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *