Papa Gomo ditahan isu video berbaur hasutan

Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan semalam susulan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan penahanan pengendali blog itu berkata,  penahanan dibuat berikutan satu video yang dimuatnaik Wan Muhammad Azri yang didakwa cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.

“Semua kena sedia maklum, (penahanan) ini ekoran kenyataan-kenyataannya (Wan Muhammad Azri) berbaur hasutan dikeluarkan pada video yang cuba menaikkan sentimen orang ramai, kita tak mahu perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan dalam keadaan luar biasa

.“Jika kita biarkan perkara begini, ia akan menyebabkan masalah lain pula berkaitan isu keselamatan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis hari ini.

Menerusi semakan pada akaun Facebook menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Wan Muhammad Azri mendapati terdapat satu video secara langsung dibuatnya kelmarin dengan mengetengahkan tajuk ‘Ini Tanah Melayu’.

Dalam masa yang sama, Fuzi turut menegaskan tindakan itu akan dilakukan terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan media sosial untuk menaikkan sentimen perkauman.

“Kita  bukan saja akan ambil tindakan terhadap Papa Gomo ini tetapi semua yang terbabit terutama yang menggunakan media sosial ini untuk menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*