Pelajar kolej Giat MARA arah polis supaya cermat tunggang motosikalnya

“Bang, bawa motor tu elok-elok dan jangan bagi jatuh”

Itu kata-kata seorang pelajar kolej Giat Mara Gombak kepada anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur selepas motosikalnya disita dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi tadi.

Remaja lelaki berusia 19 tahun yang memakai topi keledar berwarna merah serta menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu ditahan selepas melakukan aksi ‘wheelie’ (memacak tayar depan) tanpa menyedari pemeriksaan polis kira-kira 500 meter dihadapan.

Selain melakukan aksi merbahaya itu, suspek juga bertindak melarikan diri sejauh 10 kilometer sebelum berjaya diberkas polis bahagian risikan operasi trafik KL di Lebuh Raya DUKE.

Bagaimanapun, ketika pihak polis membawa dia untuk ke balai trafik untuk siasatan lanjut menaiki kereta peronda lelaki yang menetap di Gombak itu sempat menegur anggota polis yang menyita motosikalnya itu supaya menunggang dengan cermat selain tidak menjatuhkan motosikal milik abangnya itu.

Suspek antara yang diberkas JSPT Kuala Lumpur dalam Ops Samseng yang dilakukan di lima lokasi sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Antara lokasi operasi, Jalan Kucing, Jalan Pahang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut dan Jalan Bangsar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebanyak 399 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tiga jam operasi tersebut dijalankan.

Ketua Polis KL, DS Mazlan Lazim

“Dalam operasi itu, dua remaja lelaki berumur 18 dan 19 tahun ditahan atas kesalahan melakukan aksi bahaya di atas jalan raya serta menunggang motosikal melawan arus sebaik melihat pemeriksaan polis.

Pemeriksaan JSPT KL di Jalan Raja Laut

“Kita lakukan operasi ini bagi membanteras samseng jalanan, mat rempit serta mengurangkan kadar kemalangan di ibu negara,” katanya di lokasi operasi tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*