Petikan awal penubuhan Utusan Melayu

Banyak surat-surat telah tiba di pejabat kita tetapi hampir lima puluh peratus daripadanya ialah berkenaan meminta kerja dengan Utusan Melayu – ada yang meminta jadi kerani, jadi penyusun huruf, jadi penulis khas dan bukan sedikit yang menawarkan jadi pengarang-pengarang Utusan Melayu.

Jalan yang baik sekali bagi tuan-tuan yang berhajat bersungguh-sungguh hendak menolong memaju dan menjayakan akhbar kebangsaan tuan ialah pertamanya fikirkan baik-baik lebih dahulu apa yang terdaya upaya oleh tuan.

Jikalau tuan seorang hartawan bolehlah tuan menolong dengan membeli syer-syer syarikat Utusan Melayu atau berlanggan dengan akhbar Utusan Melayu dua tiga naskhah pada tiap-tiap kali keluar supaya tuan khairatkan atau hadiahkan kepada masjid-masjid atau surau-surau di kampung tuan.

Jikalau tuan fikir tuan pandai dan layak mengarang maka karangkanlah makalah-makalah yang berfaedah, syair-syair dan pantun-pantun tetapi jika tuan cuma tahu menulis, tolonglah tuliskan sebaris dua berkenaan dangan kejadian dan hal ehwal kampung, mukim, jajahan atau negeri tuan.

Jikalau tuan hanya tahu membaca sahaja boleh juga tuan menolong iaitu bacakan akhbar-akhbar Utusan Melayu kepada saudara-mara tuan yang tiada tahu membaca.

Pendeknya, kalau ada perasaan yang baik, tulus dan ikhlas kepada bangsa dan perusahaan bangsa sendiri maka ada beratus-ratus jalan yang tuan semua boleh menolong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*