Polis tahan sindiket curi besi penutup longkang di Putrajaya

Rancang nak curi besi penutup longkang di sekitar Putrajaya sejak berada dalam tahanan AADK lagi.

Video viral menunjukkan suspek curi penutup besi di Putrajaya

Sebaik keluar daripada tahanan berkenaan pada Disember lalu dua lelaki berusia 32 dan 37 itu mula melakukan kegiatan jenayah itu demi mendapatkan bekalan dadah.

Bagaimanapun, kegiatan dua lelaki berkenaan tidak bertahan lama selepas mereka ditahan polis Kuala Lumpur dalam dua serbuan di rumah masing-masing di Kajang dan Ampang pada 17 dan 19 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, berdasarkan laporan polis, sebanyak 231 keping besi penutup longkang dianggarkan bernilai RM29,880 sekitar kawasan kediaman di Presint 8, Presint 11 dan Taman Putra Perdana dilaporkan hilang dicuri.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan polis menemui, dadah jenis syabu, satu botol ubat batuk dan satu botol berisi air ketum dalam kereta Wira yang dipercayai bekalan dadah buat suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu dua premis besi buruk di Kajang yang membeli hasil curi tersebut sebelum menahan lapan lelaki.

“Dua daripada lelaki itu merupakan pemilik premis, seorang pemandu lori warga tempatan manakala baki selebihnya merupakan pekerja yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh.

“Serbuan di dua premis itu polis berjaya merampas semula 80 keping besi penutup longkang dan hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang pemilik premis besi itu menjalankan perniagaan tanpa lesen dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan pelbagai jenayah,”ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*