Pujukan ‘bernyawa’ abam bomba

“Pihak bomba bermain-main dengan kanak-kanak berusia 3 tahun menggunakan alat seperti lampu suluh sehingga akhirnya kanak-kanak itu mengikuti arahan anggota bomba untuk membuka kereta yang terkunci dari dalam”.

Itu pujukan yang dibuat pihak bomba Subang Jaya selama 20 minit sekali gus berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta jenis Mini Cooper milik bapa mereka di Bandar Sunway.

Kejadian berlaku jam 6.30 petang tadi selepas lelaki berkenaan memberhentikan keretanya untuk menyerahkan surat kepada jirannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, lelaki terbabit menghubungi bomba memaklumkan dua anaknya berusia tiga tahun dan sembilan bulan terperangkap dalam kereta.

Katanya, pihak bomba mengambil masa selama 20 minit untuk menunjukkan kanak-kanak itu cara untuk membuka pintu.

“Sepasukan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian dan tiba 10 minit kemudian sebelum mendapati seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan kakaknya berusia tiga tahun terperangkap dalam kereta Mini Cooper dengan enjin masih hidup.

Memandangkan kereta itu tidak boleh diumpil, anggota bomba cuba untuk mengajar kanak-kanak berusia tiga tahun itu membuka kunci kereta itu.

“Kami berasa lega akhirnya dia berjaya mengikut arahan untuk membuka sendiri pintu kereta itu,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*