Team Rojak pantau aktiviti polis Selangor di pusat hiburan

Polis Kontinjen Selangor memperkasakan Team Rojak bagi memantau dan menggenakan tindakan ke atas anggota dan pegawainya memasuki pusat hiburan bukan atas urusan kerja.

Jurucakap IPK Selangor berkata, Team Rojak sudah lama wujud dan kini pucuk pimpinan di IPK Selangor menekankan agar pemantauan secara serius dilakukan bagi mengesan aktiviti warga polis yang gemar menghabiskan masa di pusat-pusat hiburan.

“Arahan tidak membenarkan warga polis ke pusat-pusat hiburan sudah lama dikeluarkan malah Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Hamid Bador juga terus memberi amaran agar semua anggota dan pegawai dalam pasukan tersebut agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjejak kaki ke pusat-pusat hiburan,”kata jurucakap itu semasa ditemui baru-baru ini.

Jelas beliau, ahli dalam Team Rojak antaranya disertai anggota Jabatan Intergriti dan Pematuhan Operasi Standard, Narkotik dan Pengurusan.

“Anggota atau pegawai polis yang ditemui berhibur di pusat hiburan akan turut diminta menjalani ujian saringan air kencing bagi mengetahui mereka turut mengambil dadah atau sebaliknya,”jelasnya

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan kewujudan pasukan khas tersebut dan menegaskan langkah itu dibuat sebagai mematuhi arahan KPN sekali gus mengelakkan warga polis terlibat dalam gejala tidak sihat.

Dalam perkembangan sama, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan melancarkan operasi khas dikenali sebagai Op Blue Devil bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga PDRM.

Menerusi kenyataan yang dipaparkan di laman sosial Facebooknya, PDRM berkata, operasi yang bakal diadakan di seluruh negara itu akan menangkap mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati terlibat dengan najis dadah dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

“Ingat! Tiada kompromi dan tempat untuk sesiapa yang cuba menjatuh mahupun mencemarkan nama baik pasukan penuh keramat ini!,”.





Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*