Tengku Hassanal lapor diri ke Sandhurst

Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah melanjutkan pelajaran dan melapor diri di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di Britain.

“Hassanal dan Muiz pergi ke London…. Melapor diri ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst…. Semoga kamu membanggakan negara kamu… Dan berkhidmat dengan tentera Malaysia selepas itu… Jeneralku!!!” titah bondanya, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi akaunTwitter baginda awal pagi tadi.

Tengku Hassanal yang kini berumur 23 tahun akan menjalani latihan sebagai pegawai kadet di akademi tentera tersohor itu selama satu tahun.

Tengku Hassanal merupakan putera sulung kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan cucunda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Terdahulu, pada Julai lalu pewaris kedua takhta negeri Pahang itu menamatkan pengajian tinggi selama tiga tahun dan mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang hubungan antarabangsa di The Geneva School of Diplomacy and International Relation.

Akademi Tentera Diraja Sandhurst yang terletak di Surray terkenal sebagai institusi latihan ketenteraan tertua di dunia dan banyak adat serta tradisi tentera Komanwel berasal dari sana.

Ramai pembesar dan keluarga diraja pernah mendapat latihan di akademi itu seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Raja Jordan, Raja Abdullah II; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Tengku Abdullah sendiri dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*