Uncategorized

Tiga rakyat Malaysia maut, dua parah nahas jalan raya di New Zealand

KAIKOURA, New Zealand – Kementerian Luar mengesahkan tiga warga Malaysia maut dan dua lagi parah dalam nahas jalan raya di Lebuh Raya Negara, di sini semalam .

Nahas tersebut berlaku pada pukul 3.01 petang (waktu tempatan) semalam melibatkan sebuah lori dan kereta.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga mereka bagi memastikan urusan-urusan yang berkenaan berjalan lancar,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.

Roda Pena difahamkan, tiga daripada mangsa maut manakala dua lagi dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tempatan.

Kementerian Luar Malaysia merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Anggota penyelamat New Zealand bertungkus lumus menyelamatkan mangsa di lokasi nahas. – www.stuff.co.nz

Sementara itu, portal berita www.stuff.co.nz melaporkan identiti mereka belum dapat disahkan namun mangsa yang meninggal dunia merupakan orang dewasa. Dua yang cedera pula masih remaja. Kesemua mereka dipercayai berasal dari Sabah.

Mangsa cedera kemudiannya diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital Christchurch dan Hospital Wellington bagi mendapatkan rawatan.

Kemalangan tersebut menyebabkan aliran trafik lebuh raya utama itu ditutup bagi melancarkan operasi menyelamat.

Difahamkan, anggota penyelamat terpaksa memotong kenderaan yang remuk untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Polis New Zealand masih menyiasat punca sebenar nahas jalan raya tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *