Berita

Tourism Malaysia sokong penuh penganjuran KLBW 2019

Tourism Malaysia menyokong penuh penganjuran Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2019 yang berlangsung dalam suasana santai tetapi meriah di Bandar Malaysia di sini semalam.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya sangat menyokong penganjuran KLBW kerana aktiviti himpunan motosikal tersebut berupaya membantu menjana ekonomi khususnya industri pelancongan negara.

Musa (dua dari kanan) sejurus merasmikan KLBW 2019 sambil diperhatikan Idi Iskandar (dua dari kiri).

“Selain MotoGP, aktiviti himpunan motosikal sudah pun dianggap sebagai salah satu elemen penarik dalam ‘two wheel tourism’ kerana ia terbukti dapat menarik pelancong dari negara jiran terdekat seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei serta Australia untuk datang ke negara ini.

“Justeru itu, Tourism Malaysia akan sentiasa menyokong dan membantu KLBW untuk terus konsisten dalam usaha murninya itu yang mana program tersebut diketahui sudah pun memasuki tahun ke-10 penganjuran sejak mula diperkenalkan pada tahun 2008 dahulu,” tegas Musa menutup bicara.

Dalam perkembangan sama, Pengarah KLBW 2019, Muhd Idi Iskandar Abu Zahar berkata, aktiviti himpunan motosikal dengan cogan kata ‘The End Of Chapter One’ bagi penganjuran kali ini itu dibuat berbeza dengan penganjuran sebelumnya.

Menurut Idi lagi, sempena ulang tahun ke-10 penganjuran, KLBW 2019 tidak hanya tertumpu kepada acara motosikal sahaja sebaliknya turut diselitkan dengan pameran kereta serta galeri lukisan dengan karya unik.

Tambahnya, adalah menjadi satu kerugian besar bagi kelompok peminat himpunan motosikal seumpamanya untuk tidak hadir bagi memeriahkan acara KLBW tahun ini yang lebih unik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *