Viral remaja lembam ditinggalkan luar rumah

SEORANG remaja perempuan yang mangalami masalah pembelajaran didakwa diabaikan serta didera di Mata Ayer, Perlis dan mula menjadi viral di laman sosial Twitter sejak petang semalam.

Pengguna Twitter yang menggunakan akaun bernama Jurais memuat naik status berserta rakaman video menunjukkan remaja berusia 14 tahun tersebut ditinggalkan di luar rumah selain mempunyai kesan luka seperti didera.

Pada mulanya, pemegang akaun tersebut mendakwa dia di luar rumah kakaknya sekitar pukul 6 pagi semalam dan mendengar beberapa bunyi ketukan sebelum menemui remaja tersebut tidur di luar rumahnya.

“Sebelum subuh saya terdengar satu keluarga keluar berniaga. Rupanya dia tinggal seorang anak dia yang lembam.

“Rumah dalam keadaan berkunci dengan mangga. Remaja yang dikenali sebagai Ain itu tidur di luar tanpa sebarang alas dan selimut,” tulis Jurais.

Roda Pena turut difahamkan kanak-kanak tersebut sering bermalam di luar rumah dan dihurung nyamuk.

Ain ditinggalkan diluar rumah dan pintu dalam keadaan terkunci dan ditemani seekor kucing.

Pemegang akaun itu juga mendakwa remaja itu mengadu sering didera dan sempat merakam gambar kesan luka pada bahagian belakang leher Ain.

Jurais berkata hatinya lemah mendengar pengakuan remaja tersebut yang mengatakan dia dipukul dengan buluh, disimbah air panas dan dikepit menggunakan playar.

Kesan luka pada belakang leher Ain

Lebih menyentuh perasaan, rakaman video memaparkan Ain yang boleh bercakap dengan lancar itu mengakui dia sangat sayangkan ibunya walaupun diperlakukan sedemikian rupa.

Jurais meminta netizen menyebarkan perkara ini sehingga ke pengetahuan pihak berkuasa dan sehingga pukul 3.30 pagi ini, status tersebut mencatatkan lebih 6,000 retweets dan kira-kira 2,600 like.

Remaja ini mengatakan bahawa dia masih menyayangi ibunya.

Beberapa pengguna laman sosial tersebut turut melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan keluarga tersebut mengabaikan remaja berkenaan dan mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan.

Maklumat terkini mengatakan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang menyiasat kejadian yang berlaku di negeri utara tanah air.

Sumber: Twitter/@juraisabdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*